1. 5 orang anak muda Sarawak yang mewakili kempen Undi Sarawak telah
memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia,
dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi Kuching. Para pemohon
menuntut dua deklarasi mahkamah iaitu (1) bahawa tindakan Kerajaan
menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18
adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan
hak pengundi; (2) bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi
menjelang Julai 2021.
2. Para pemohon juga merayu kepada Mahkamah untuk membatalkan keputusan
Kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur mengundi daripada 21
ke 18 tahun. Keputusan ini bakal memberi impak kepada sekurang-kurangnya
125,000 hingga 135,000 belia Sarawak memandangkan Dewan Undangan
Negeri Sarawak sudahpun meluluskan penurunan had umur bertanding ke 18
tahun pada Disember 2020.
3. Oleh itu, para pemohon juga akan mengarahkan Kerajaan supaya
melaksanakan pindaan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dalam
apa jua keadaan, pada atau sebelum Julai 2021.
Undi Sarawak, sebuah kempen belia yang dinaungi oleh Undi18, merujuk kepada kenyataan
Suruhanjaya Pilihan Raya (‘SPR’) bertarikh 25 Mac 2021 mengenai pelaksanaan rang
undang-undang (‘RUU’) Undi18, dan kami terus mendesak pelaksanaan segera penurunan usia
mengundi daripada 21 ke 18 tahun. Kami juga merujuk kepada kenyataan Datuk Abdul Ghani
Salleh, Pengerusi SPR yang menyatakan bahawa pendaftaran pemilih automatik (‘AVR’) dan
penurunan usia mengundi hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022 atas beberapa
kekangan dan halangan yang dihadapi SPR ekoran pandemik COVID-19.
RUU Undi18 meliputi beberapa pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,
seperti yang termaktub dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019. Seksyen 3(a) dalam Akta
tersebut bertujuan menurunkan usia mengundi daripada 21 ke 18 tahun, manakala Seksyen 3(b)
memansuhkan sebarang halangan undang-undang untuk melaksanakan pendaftaran pemilih
automatik.
Kami turut ambil maklum berkenaan kenyataan terkini YB Takiyuddin Haji Hassan yang telah
dikeluarkan pada 29 April 2021, dan komen beliau yang berkaitan pada 2 Mei 2021 berkenaan
pelaksanaan RUU Undi18. Biarpun kami mengalu-alukan pembaharuan komitmen Kabinet
Malaysia bagi melaksanakan had umur mengundi baharu menjelang Julai 2021, kami mendapati
bahawa masih belum ada pelan tindakan atau garis masa yang telah ditetapkan.

Undi Sarawak berpendirian teguh bahawa anak muda yang berumur 18 ke 20 tahun berhak
untuk mengundi. Kelewatan pelaksanaan RUU Undi18 akan menjejaskan anak muda Sarawak
secara langsung kerana Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya pada 7
Ogos 2021 atau dengan serta-merta sebaik sahaja tempoh Darurat ditamatkan. RUU Undi18
perlu dilaksanakan menjelang Julai 2021 agar sekurang-kurangnya 125,000 hingga 135,000
anak muda Sarawak berusia 18 hingga 20 tahun tidak kehilangan hak mereka sebagai pengundi
kali pertama. Oleh itu, 5 orang anak muda yang berusia 18 ke 20 tahun (‘pemohon’) akan
mewakili kempen Undi Sarawak mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan
Malaysia.
Para pemohon menuntut deklarasi daripada Mahkamah bahawa penangguhan oleh Kerajaan
dalam pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat
undang-undang, serta mencabul hak pengundi. Selain itu, para pemohon juga merayu kepada
Mahkamah untuk mengarahkan Kerajaan melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan
(Pindaan) 2019 pada atau sebelum Julai 2021. Satu semakan kehakiman serupa juga telah
difailkan oleh 18 orang pemohon mewakili Undi18 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2
April 2021.
Berikut merupakan beberapa wakil daripada 5 orang anak muda Sarawak yang menjadi
pemohon tindakan undang-undang bagi pihak Undi Sarawak:
● Ivan Alexander Ong, 19
Ivan, seorang pemuda yang menunjukkan ciri kepimpinan tinggi dan kemahiran
komunikasi yang efektif, merupakan pengasas organisasi yang bernama “Impak
Pemuda.” Impak Pemuda merupakan sebuah medium bagi anak muda Malaysia
menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu-isu kritikal seperti kemiskinan,
pendidikan, ketidaksamarataan dan alam sekitar dalam komuniti masing-masing. Beliau
juga penyokong tegar penglibatan belia dalam politik Malaysia kerana beliau percaya
pentingnya anak muda Malaysia diamanahkan dengan tanggungjawab dan mandat yang
lebih besar bagi menentukan masa depan Malaysia.
● Sharifah Maheerah Syed Haizir, 20
Maheera merupakan seorang wanita muda yang ghairah dan komited dalam kerja-kerja
beliau, dan sudah menjalankan pelbagai projek kemasyarakatan dari usia yang muda.
Beliau juga memiliki minat yang mendalam terhadap isu-isu sosial berkaitan hak asasi
wanita dan pelarian di Malaysia. Berbekalkan pendedahan yang diperolehi sepanjang
menjalankan kerja-kerja sukarela, Maheerah bertekad untuk menyumbang ke arah
perkembangan demokrasi dan identiti Malaysia dalam apa jua cara sekalipun.
● Chang Swee Ern, 19
Grace, seorang wanita yang berbakat dan bersemangat tinggi, percaya bahawa hak
untuk mengundi pada usia 18 tahun merupakan hak asasi semua. Minat beliau terhadap
realiti sosial dan politik di Malaysia mendorong beliau untuk merubah diri sendiri,
seterusnya menjadi agen harapan dan perubahan dalam komuniti, negeri dan negara.

Beliau, Grace juga percaya bahawa perubahan yang besar lahir daripada
langkah-langkah kecil dalam masyarakat di Malaysia.
Pemohon kami, Sharifah Maheerah, berpendirian bahawa anak muda Sarawak berhak didengar
dan sepatutnya layak untuk mengundi sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan pada
Ogos ini. Menurut beliau, “Kami tidak boleh berbuat demikian (mengundi) sekiranya RUU Undi18
cuma dilaksanakan pada September 2022, dan bukannya pada tarikh Julai 2021 yang telah
dijanjikan sebelum ini. Kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk penindasan pengundi,
dan enggan berdiam diri apabila hak kami untuk mengundi dinafikan. Anak muda Malaysia
sudahpun memegang pelbagai tanggungjawab besar termasuk memasuki alam pekerjaan,
membayar cukai dan menanggung keluarga masing-masing, jadi sudah tentu kami juga mampu
membuat keputusan sendiri di dalam pilihan raya.”
Pendirian beliau ini disokong oleh penyelaras bersama Undi Sarawak, Priscilla Grace Poul yang
bertanya, “Berapa lama lagi hingga mereka sedar bahawa sebarang usaha atau perbincangan
tentang belia adalah SIA-SIA tanpa (melibatkan) belia sendiri? Kelewatan pelaksanaan Undi18
jelas memberitahu kita bahawa kerajaan hari ini hanya memberi sokongan kosong kepada belia
dan kami tidak akan membiarkan suara belia terus diabaikan begitu sahaja. Saya bangga
melihat ramai di antara kita bersatu padu memperjuangkan suara belia yang sudah sekian lama
tidak dihargai dan tidak didengar. Sudah tiba masanya kita pastikan suara kita didengar dan
tidak dipandang enteng.”
Peguam dari Lawyers Kamek 4 Change (LK4C), Simon Siah juga menjelaskan, “Rakyat
Malaysia berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai jangkaan yang munasabah setelah penurunan
had umur mengundi ke 18 tahun mendapat sokongan dwipartisan pada Julai 2019. Anak-anak
muda ini telah diberikan tanggapan sepanjang (2) tahun lalu bahawa mereka akan layak
didaftarkan sebagai pengundi dan boleh mengundi menjelang Julai 2021. Lebih-lebih lagi kerana
di Sarawak adanya jangkaan dan keperluan yang lebih tinggi, memandangkan Pilihan Raya
Negeri kita akan diadakan menjelang 7 Ogos 2021 atau dengan serta-merta apabila tempoh
Darurat ditamatkan. Sebaliknya, SPR tiba-tiba ‘bermuka dua’ dengan memungkiri janji dan
bertindak melewatkan garis masa perlaksaan terawal RUU Undi18 ke bulan September 2022.
Kegagalan mendaftar anak-anak muda ini menjelang Julai dan mengambil kira pilihan raya
negeri yang bakal berlangsung ini bersamaan dengan penindasan pengundi, kerana
pemohon-pemohon kami tidak boleh mendaftar tepat pada masanya untuk mengundi. Ini tidak
boleh diterima dan kami percaya bahawa SPR sedang menidakkan hak-hak pengundi-pengundi
muda ini yang memiliki kata dua berkenaan hala tuju negeri Sarawak dalam 5 tahun
seterusnya.”
Mana-mana pihak yang ingin menyokong semakan kehakiman ini dengan memberi sumbangan
dana guaman kami boleh membuat demikian melalui kaedah ‘bank transfer’ ke akaun berikut:
CIMB Bank – 8603878996
Persatuan Pengundi Muda
Rujukan: Sine Undi Kamek/UndiSarawak
Undi Sarawak | 4 MEI 2021 | [email protected] |
Pertanyaan media: Soon Wei Xen: +60 12-720 0229 / [email protected]

Leave a Reply

To donate please email us at:

[email protected]